PORT DICKSON: Sepasang kekasih direman selama tujuh hari selepas disyaki menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian seorang bayi semalam.
Perintah reman terhadap suspek iaitu seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dan lelaki berusia 21 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Hairun Najmi Mashahadi di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, perintah reman berkenaan bermula hari ini hingga 28 Januari ini adalah bagi membolehkan polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan, pasangan kekasih tersebut ditangkap sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD dari pukul 9.30 malam hingga 9.45 malam semalam di dua lokasi berasingan.
Tangkapan dibuat susulan pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Hospital Port Dickson berkenaan maklumat seorang pesakit perempuan telah melahirkan anak tetapi bayi tersebut gagal dikesan kira-kira pukul 11.13 pagi semalam.
“Siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihak polis telah menemukan bayi tersebut yang disembunyikan di dalam sebuah beg di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Intan Perdana, Telok Kemang di sini.
“Pemeriksaan lanjut telah dilakukan ke atas bayi perempuan yang sudah cukup sifat namun telah disahkan mati dan terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada disyaki kesan objek tajam,” katanya.
Menurutnya, turut dirampas dalam tangkapan itu adalah uri, pakaian, senjata berupa pisau dan telefon bimbit.
“Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian adalah disebabkan rasa bimbang dan takut dengan keluarga,” katanya. – UTUSAN