KOTA BHARU: Pas tidak pernah mencadangkan siapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) kembali diberi mandat menjadi kerajaan.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, fokus utama Pas ketika ini adalah memenangi pilihan raya seperti yang sering ditekankan oleh Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Presiden Pas sendiri selalu menekankan bahawa persoalan siapa jadi Perdana Menteri itu selepas menang baru kita tentukan.
“Jadi tidak berbangkit isu Pas sibuk cari calon Perdana Menteri sebab parti memang tidak bincang. Itu adalah hasrat individu (Mursyidul Am Pas),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bilik Pameran Kereta Elektrik jenama Proton di JM Otomobil (EV) Sdn. Bhd., Wakaf Siku di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin melihat parti itu dilihat lebih sesuai untuk memimpin negara.
Mohd. Amar menyifatkan perbincangan siapa menjadi Perdana Menteri sebelum memenangi pilihan raya sebagai ‘belum berkahwin atau isteri tidak berbadan dua tetapi sudah sibuk berbincang mengenai anak’.
“Ini kita kahwin pun tidak, isteri belum mengandung tiba-tiba bincang nama anak. Tak betullah macam tu. Biar tentu kita kahwin dahulu, mengandung dahulu barulah bincang pasal anak. Jadi sekarang ini tak ada semua itu. Yang penting menang dalam pilihan raya dahulu,” katanya. – UTUSAN