KOTA BHARU: Pelaksanaan Halatuju Portfolio Kerajaan Kelantan 2024-2028 dipantau secara ‘masa sebenar’ melalui Sistem Pemantauan Prestasi dan Keberkesanan (i-SPARK) bermula tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, sistem berkenaan dibangunkan Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan bersama Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
“Sistem i-SPARK ini diletakkan di bawah seliaan Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK),” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Himpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, i-SPARK dibangunkan bagi membolehkan beliau memastikan hala tuju berkenaan dilaksanakan dengan penuh integriti, telus, cekap dan bersinergi antara pelbagai jabatan.
Sementara itu, beliau berkata, tempoh diskaun 90 peratus ke atas tunggakan denda cukai tanah yang sepatutnya berakhir pada 30 Disember tahun lepas dilanjutkan sehingga 31 Mac ini.
“Keputusan ini diambil sebagai manifestasi komitmen kerajaan negeri untuk memahami denyut nadi rakyat,” katanya
Katanya, Belanjawan Kelantan 2025 menyasarkan kutipan 100 peratus hasil tanah, khususnya penguatkuasaan terhadap tunggakan hasil negeri tanpa menjejaskan kelestarian khazanah alam semula jadi negeri.
“Kelantan mengekalkan sebanyak 51 peratus tanah berhutan dan kelulusan pindaan Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian 1985) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini adalah langkah mewujudkan kawal selia terhadap aktiviti karbon hutan.
“Karbon hutan berpotensi menjadi hasil baharu negeri untuk generasi masa depan dan Jabatan Perhutanan Kelantan harus memainkan peranan dalam memastikan hutan kekal sebagai aset strategik yang menyumbang kepada kelestarian ekosistem, ekonomi dan mitigasi perubahan iklim negara,” katanya. – UTUSAN