Panjat tembok sempadan bawa ganja RM400,000

Panjat tembok sempadan bawa ganja RM400,000

SHAHRUM Hashim (kiri) menunjukkan barangan rampasan yang ditinggalkan oleh dua lelaki di Pos TS 13, Jalan Keselamatan Sempadan Negara Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Cubaan dua lelaki menyeludup masuk ganja seberat lapan kilogram dianggar bernilai RM400,000 dengan menceroboh tembok sempadan negara di sini gagal apabila tindakan itu disedari sepasukan pegawai dan anggota Risik Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam. 

Kelibat penyeludup terbabit disedari pihak berkuasa selepas terlihat cahaya lampu suluh di kawasan berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam di Pos TS 13, jalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua penyeludup berkenaan bertindak memanjat tembok tersebut bagi melarikan diri ke negara jiran.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, selepas menyedari cahaya lampu suluh, polis menghampiri kawasan berkenaan dan turut memberi amaran kepada dua lelaki itu.

Katanya, suspek kemudiannya bertindak memanjat tembok itu kembali bagi melarikan diri.

“Susulan itu, polis telah melakukan pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan berkenaan dan menemukan beg galas warna hitam tertera jenama Apple di tepi tembok sempadan negara.

“Hasil pemeriksaan, kita menemukan sebanyak sembilan ketulan mampat ganja di dalam beg itu yang dianggarkan bernilai RM400,000,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PGA di sini hari ini.

Shahrum berkata, kesemua barangan rampasan itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup. 

Kata Shahrum, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes berkenaan bagi mengenal pasti sindiket penyeludupan dadah yang aktif di sekitar kawasan Padang Besar. 

Katanya, berdasarkan statistik sepanjang tahun 2024, sebanyak empat kes penyeludupan dadah telah direkodkan di sempadan negeri ini dengan nilai keseluruhan mencecah RM455,900. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya