Pandu berbahaya sebabkan kematian, penyelia terlepas hukuman penjara

Pandu berbahaya sebabkan kematian, penyelia terlepas hukuman penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan rayuan seorang penyelia stesen minyak untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, tiga tahun lalu.  

Peguam, Datuk Sharif Mohamed yang mewakili tertuduh, Muhammad Safrul Hizami Azizul Rahman, 25, memaklumkan Hakim, Datuk Rohani Ismail membacakan keputusan tersebut dalam kamar mahkamah. 

Rohani turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman denda RM20,000 dan larangan memandu selama tiga tahun yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Majistret sebelum ini.

Menurut Sharif, mahkamah membenarkan rayuan berkenaan memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda.

“Mahkamah mengambil kira umurnya dan masa depannya. Hakim juga berpendapat hukuman penjara tidak sesuai dan tertuduh perlu diberi peluang lagi,” katanya.

Jelas Sharif, tertuduh dan keluarganya juga beberapa kali bertemu keluarga mangsa untuk memohon maaf.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta jenis Perodua Kelisa telah memandu kenderaan itu dengan cara setelah mengambil kira tentang segala hal keadaan jalan itu adalah berbahaya kepada awam hingga menyebabkan kematian kepada seorang lelaki berusia 24 tahun. 

Kesalahan itu dilakukan pada 11 April 2022 di Jalan Ujong Pasir, di Seremban. Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara lima tahun hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000. 

Pada Februari tahun lalu, Mahkamah Majistret  di sini telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 serta jika gagal bayar lapan bulan penjara terhadap Muhammad Safrul Hizami selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit. 

Mahkamah turut menggantung lesen memandunya selama tiga tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya