Paip salur air bukit rosak, penduduk angkut air sungai

Paip salur air bukit rosak, penduduk angkut air sungai

JAAFAR Amid menunjukkan paip dari saluran air bukit di rumahnya yang tidak mengeluarkan air di Kampung La, Hulu Besut, Besut, Terengganu. - UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Sebahagian penduduk di Kampung La, Hulu Besut di sini terpaksa mengangkut air dari rumah jiran dan sungai selepas bekalan air bukit terputus sejak dua minggu lalu.

Kejadian itu kali kedua berlaku dalam tempoh tiga bulan lalu dan penduduk berharap paip air aliran dari bukit dapat segera dibaiki bagi kemudahan mereka menguruskan aktiviti harian.

Seorang penduduk, Jaafar Amid, 72, berkata, keadaan itu menimbulkan kesukaran kepada keluarganya kerana setiap hari perlu mengangkut air dari rumah jiran untuk keperluan harian.

“Selain itu, saya dan keluarga mengambil inisiatif mandi dan mencuci pakaian di sungai sejak bekalan air terputus. Jika hari hujan, saya menadahnya untuk keperluan di rumah.

“Bekalan air bukit ini terputus ketika musim banjir baru-baru ini dan telah dibaiki oleh penduduk kampung selepas mengumpulkan duit sebanyak RM30 bagi sebuah rumah. Namun ia kembali rosak dua minggu lepas,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Jaafar, lebih 70 peratus penduduk di kampung itu masih menggunakan bekalan air dari Bukit Yo yang terletak lebih 10 kilometer dari penempatan mereka berbanding air dibekalkan Syarikat Air Terengganu (SATU).

Seorang lagi penduduk, Rogayah Mohd. Salleh, 53, berkata, meskipun di rumahnya memiliki kedua-dua saliran air, namun bekalan air bukit lebih terkesan kerana telah menggunakannya sejak sekian lama.

“Saya sentiasa mengalu-alukan penduduk dan jiran-jiran yang datang ke rumah bagi mendapatkan bekalan air bersih bagi keperluan harian mereka.

“Saya tidak sanggup melihat mereka terpaksa mengangkut air di sungai dan saya menawarkan dengan sukarela bagi memudahkan urusan jiran-jiran terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya