MUAR: Tindakan seorang warga emas yang keluar simpang secara mengejut mengundang padah apabila motosikal ditungganginya dilanggar seorang lelaki warga Indonesia di Jalan Kampung Gombang-Kampung Batu 28, Lenga, dekat sini.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang semalam, warga emas berusia 69 tahun itu, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki Indonesia berusia 41 tahun yang turut menunggang motosikal disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muar.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukliz Azman Aziz, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa melanggar motosikal ditunggangi lelaki warga tempatan yang keluar mengejut dari simpang.
“Ia mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya dan bahu jalan dengan mengalami kecederaan parah pada anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.