ALOR SETAR: Aktiviti penjualan barang bersubsidi tanpa lesen di kawasan pembinaan sebuah kilang dekat Kulim tumpas apabila premis tersebut diserbu dalam satu Operasi Kita Gempur semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Muhammad Nizam Jamaludin, berkata operasi melibatkan Pejabat KPDN Cawangan Kulim dan Alor Setar itu menemukan sejumlah minyak masak polybeg satu kilogram (kg) bersubsidi, gula dan tepung gandum tanpa lesen menjual barang kawalan.
Serbuan dilakukan pada pukul 12 tengah hari yang membabitkan tujuh anggota KPDN itu, menemukan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an yang mengaku sebagai penjaga premis runcit berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah minyak masak polybeg satu kg, gula dan tepung gandum yang disimpan di dalam premis tanpa lesen atau permit sah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebanyak 967 kg minyak masak polybeg bersubsidi, 480 kg tepung gandum dan 23 kg gula dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3,925.35 disita.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya bersalah.
Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. – UTUSAN