Padah hina polis, warga Myanmar didenda RM7,000

Padah hina polis, warga Myanmar didenda RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Gara-gara menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi media sosial, seorang lelaki warga Myanmar didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Majistret Amalina Basirah Md. Top menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Ramzan Ali Noor Din, 38, menukar pengakuan tidak bersalahnya kepada bersalah ketika prosiding serahan dokumen hari ini.

Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh yang merupakan pekerja pusat cuci kereta itu perlu dipenjara selama enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Ramzan Ali didakwa sengaja mengaibkan dengan niat untuk membangkitkan perpecahan keamanan menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok menggunakan nama ‘theintheinzaw403’.

Dia didakwa melontarkan kata-kata kesat serta tuduhan tidak berasas terhadap PDRM untuk membangkitkan kemarahan terhadap pihak berkuasa itu pada pukul 5 petang, 28 Oktober 2024 di Balai Polis Pandan Indah di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana video yang dimuat naik telah mengaib dan mencemarkan nama baik PDRM.

Bagaimanapun, peguam bela, Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda paling minimum.

Katanya, tertuduh bekerja di pusat cuci kereta dan hanya menerima pendapatan sebanyak RM60 sehari serta telah mengaku insaf atas kesalahan pertamanya.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu yang sedang melayari aplikasi media sosial terlihat video berdurasi 45 saat dimuat naik oleh tertuduh memaparkan dia mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki hamun pihak polis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya