KLANG: Polis menahan dua pemuda yang membakar mercun di cermin hadapan kereta milik seorang wanita di Jalan Shahbudin, Taman Sentosa di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 26 tahun itu pukul 8.06 malam tadi.
Katanya, siasatan mendapati dua suspek berusia 18 dan 21 tahun dilihat pengadu berdiri sambil membakar mercun di tengah jalan tersebut, kira-kira pukul 2 petang.
“Sewaktu wanita yang memandu Perodua Axia itu mendekati mereka, salah seorang suspek meletakkan mercun di (cermin hadapan) keretanya.
“Apabila dimarahi pengadu, suspek mengambil semula dan meletakkannya di tepi kereta itu sebelum meletup hingga merosakkan bumper hadapan,” katanya hari ini.
Tambah Hoong Fong, hasil maklumat membawa kepada penahanan suspek kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
“Semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau dan direman tiga hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 (5) Αkta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
eliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, tular video berdurasi 38 saat memaparkan dua lelaki bermain mercun di jalan raya sebelum meletakkannya di kereta seorang wanita yang menggunakan laluan tersebut. – UTUSAN