BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah menerima sebanyak 183 aduan daripada orang awam secara keseluruhannya sepanjang Januari ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, daripada jumlah itu, 68 aduan membabitkan harga barangan serta perkhidmatan, 20 berkaitan bekalan barang kawalan manakala selebihnya melibatkan kes-kes lain yang telah dicatatkan dalam tempoh kurang sebulan iaitu sehingga semalam.
Jegan berkata, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya telah memeriksa sebanyak 4,833 premis dengan 96 kes telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Setakat ini, jumlah sitaan yang direkodkan adalah sebanyak RM285,693.22 manakala kompaun yang dikenakan pula adalah sebanyak RM16,000. Ternyata, peningkatan aduan yang dibuat ini membuktikan bahawa masyarakat kita semakin peka akan hak mereka sebagai pengguna.
“Selain itu, ketangkasan anggota penguatkuasa dalam melaksanakan pemeriksaan serta menyelesaikan aduan iaitu dalam tempoh 14 hari sahaja meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kita (KPDN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melakukan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Tambah Jegan, seramai 137 anggota penguatkuasa dan 62 pegawai pemantau harga telah ditugaskan di beberapa lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah sepanjang pelaksanaan SHMMP yang bermula hari ini hingga 2 Februari depan.
“(Penugasan) ini bagi membolehkan pemeriksaan dan penguatkuasaan dibuat untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika.
“Oleh itu, kita berharap agar semua pihak dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan tersebut,” katanya.-UTUSAN