KUALA LUMPUR: Pelakon, Andy Teh, mencabar diri keluar daripada watak antagonis dengan membawakan karakter penerima Anugerah Maulidur Rasul 2024, Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike dalam filem terbaharu.
Naskhah bertajuk Abah Saya, Uncle Mike itu mengisahkan perjalanan hidup lelaki bernama Mike yang menjaga tiga anak angkat lelaki Melayu beragama Islam setelah mereka kehilangan ibu bapa.
“Orang selalu nampak saya muka jahat dan berlakon cerita aksi, tapi kali ini saya mahu buktikan saya pelakon versatile yang boleh buat lebih banyak perkara selain aksi.
“Sebelum ini, saya tidak tahu mengenai kisah Uncle Mike tapi apabila ditawarkan, saya terus ke YouTube dan pelbagai platform untuk mencari bahan berita mengenai Uncle Mike kerana sebelum itu, saya tak tahu apa-apa mengenainya.
“Bila dah tahu, sejujurnya, saya menitiskan air mata kerana cerita perjalanan Uncle Mike membesarkan tiga anak angkatnya ini sangat indah.
“Bukan senang mahu menjaga anak orang lain berlainan bangsa dan agama. Ada banyak perkara yang terlintas dalam fikiran saya,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah pelakon Aku Hamin itu lagi, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk berbual dengan Uncle Mike dan bertanya soalan demi mendalami karakter yang dibawa.
“Saya yakin dan sangat positif membawakan karakter orang yang masih hidup. Kita gunakan peluang untuk berkomunikasi dan paparkan lebih banyak di filem yang sebelum ini orang tidak tahu.
“Dari aspek emosi pula, kamu ada banyak kelas latihan yang turut mengukuhkan lagi hubungan saya dengan pelakon lain.
“Selain itu pengalaman juga membantu. Sebelum ini saya pernah bawakan karakter mualaf yang terencat akal juga sangat bermosi.
“Saya bersyukur kerana ia platform untuk saya asah bakat sampai ada rezeki berlakon filem,” jelasnya yang menunggu tujuh tahun untuk ditawarkan peranan sebagai watak utama.
Filem Abah Saya, Uncle Mike akan diarahkan oleh pengarah, Ezrie Gazali dan akan memulakan penggambaran selepas Tahun Baharu Cina. -UTUSAN