Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai agar tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu pengampunan.
Tindakan sedemikian disifatkan bertentangan dengan undang-undang dan tidak menghormati proses rasmi sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses mendapatkan pengampunan adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah dikemukakan secara rasmi melalui Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau mana-mana saluran tidak sah.
“PDRM ingin mengingatkan bahawa tindakan menyertai perhimpunan bagi tujuan ini bukan sahaja tidak mengikut saluran yang betul, malah boleh mengundang risiko kepada ketenteraman awam. Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan sudah jelas memandu proses pengampunan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis sentiasa menjunjung tinggi titah kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menyeru rakyat untuk menghormati undang-undang negara dan menjaga keamanan.
“Mana-mana perhimpunan yang tidak sah hanya akan membawa kepada ketidaktenteraman dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
“Semua pihak harus memahami bahawa undang-undang adalah asas kepada kestabilan negara,” katanya.
Razarudin turut mengingatkan bahawa rakyat perlu mendukung prinsip Rukun Negara, khususnya Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, dalam setiap tindakan mereka.
“Proses pengampunan merupakan mekanisme perundangan yang sah dan perlu dihormati. Marilah kita bersama-sama memastikan keharmonian negara terus terpelihara dengan mematuhi lunas undang-undang,” tegasnya. – UTUSAN