MARAN: Polis memberkas seorang pekebun yang juga Orang Pengawasan Polis ( OPP) selepas dikesan melakukan beberapa siri jenayah pecah rumah di sekitar Pekan Arwah dan Chenor, di sini sejak Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, suspek berusia lingkungan 30 tahun ditahan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sebuah rumah sewa dekat Chenor pada pukul 11 malam, 8 Januari lalu.
Katanya, aktiviti jenayah suspek dikesan selepas melakukan risikan dan menyiasat kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah rumah mangsa.
“Dalam serbuan itu, polis mendapati suspek yang berasal dari Kedah hanya tinggal berseorangan di rumah sewanya. Hasil pemeriksaan lanjut menemukan alat pecah rumah termasuk sebilah parang yang digunakan untuk mempertahan diri.
“Pelbagai barang disyaki dicuri seperti telefon bimbit, jam tangan, kasut termasuk motor yang digunakan suspek turut diramp,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Maran di sini hari ini.
Kim Wai berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine selain memiliki 13 rekod jenayah lampau dan sembilan rekod penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, sebagai OPP, dia mempunyai lapan bulan lagi untuk menamatkan tempoh pengawasan iaitu pada 4 September ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi suspek ialah keluar pada awal pagi dengan alasan untuk bekerja di kebun kelapa sawit sebelum melakukan jenayah pecah rumah.
Menurutnya, modus operandinya suspek dipercayai mengumpil pintu atau tingkap nakor di rumah mangsa sebelum masuk ke dalam untuk mencuri barangan.
“Suspek kemudian dipercayai menjual barangan itu secara kecil-kecilan bagi menampung keperluannya membeli dadah,” katanya.
Beliau berkata, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Maran semalam dengan lima pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan. – UTUSAN