BALING: Seorang operator kilang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler di Lebuhraya Gerik-Baling-Kulim, berhampiran Kampung Binjul, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.29 pagi itu, mangsa, Muhammad Shafizuddin Mohd. Shafie, 23, dari Kampung Bandar Hilir, Sik meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki kereta Perodua Myvi dan melanggar sebuah treler jenis Volvo.
“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar belakang lori treler yang dipakir di situ.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang memandu seorang diri tersepit di bahagian tempat duduknya. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim, untuk dibedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, seramai sembilan anggota terlibat untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan ‘power unit rescue’. – UTUSAN