PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta menerusi Op Sky.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, setakat ini, 21 individu termasuk lapan pengarah dan pegawai syarikat serta 12 pegawai bank dan seorang ejen ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, sindiket ini dikesan beroperasi di lima dan enam bank di negara ini dengan nilai pinjaman keseluruhan berjumlah RM700 juta.
“Lebih kurang anggaran antara 0.5 dan satu peratus dibayar kepada pihak terlibat bagi mendapatkan kelulusan pinjaman itu.
Kita tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan berkaitan kes ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Katanya, pihaknya turut menyita sembilan unit kenderaan mewah pelbagai jenama, wang tunai sebanyak RM309,400, 17 jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM11.11 juta.
Jelasnya lagi, turut dirampas termasuk lima beg tangan mewah dianggarkan bernilai RM431,256 dan lima set barang kemas dianggarkan bernilai RM50,000.
Ahmad Khusairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A), Seksyen 17A (a) Akta SPRM 2009, Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.
Pada masa sama, Ahmad Khusairi berkata, pihaknya turut melakukan Op Trust bagi mengesan sindiket menyeleweng unit amanah untuk kepentingan peribadi.
“Ini adalah dua contoh (Op Sky dan Op Trust) yang kita ketengahkan kepada masyarakat berhubung dengan aspek kewangan dan perbankan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN