PETALING JAYA: Syarikat perunding kewangan yang terlibat sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dipercayai melantik artis dan selebriti sebagai duta rasmi untuk mempromosikan syarikat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, syarikat terbabit dikesan mengiklankan tawaran melalui papan iklan, Facebook, Tiktok, Instagram, menggunakan kaedah soal selidik dan membuat jelajah di sekolah, hospital dan klinik.
Katanya, ia bagi memancing individu dalam kalangan guru-guru sekolah dan kakitangan awam lain.
“Syarikat ini juga aktif mempromosikan tawaran mereka melalui pertubuhan seperti yayasan untuk membuat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kerja amal kepada agensi kerajaan dan penjawat awam.
“Kelulusan pembiayaan pinjaman dibuat dengan bantuan pegawai bank dengan cara manipulasi turn around time (TAT) permohonan pinjaman semasa proses kelulusan dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Azam berkata, kelulusan pinjaman yang diperolehi terhadap semua bank yang dihantar adalah dalam masa tiga ke lima hari dari permohonan yang dibuat.
Jelasnya, semasa proses ini juga, pihak sindiket akan mengeluarkan surat pembatalan palsu daripada bank yang sudah lulus pinjaman kepada bank yang sedang dalam proses untuk kelulusan pinjaman bagi memastikan semua pinjaman daripada multiple bank mendapat kelulusan secara serentak.
“Pihak sindiket juga akan mengajar peminjam untuk bekerjasama bagi memastikan proses permohonan berjalan lancar.
“Tiada pemalsuan slip gaji dibuat memandangkan semua komitmen hutang peminjam diselesaikan terlebih dahulu oleh sindiket bagi memastikan peminjam boleh membuat pinjaman dengan nilai maksimum ke beberapa bank secara serentak,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati peminjam tiada yang mengalami masalah bankrap tetapi kebanyakkan mereka adalah individu yang mempunyai hutang-hutang lapuk daripada pelbagai institusi kewangan.
“Kemudian sindiket ini menawarkan untuk membantu menyelesaikan hutang-hutang lapuk sedia ada dan apabila hutang itu diselesaikan, mereka akan bantu pula untuk membuat pinjaman baru secara “multiple loan” di dua hingga empat buah bank secara serentak dengan jumlah yang lebih besar dan melebihi kemampuan peminjam.
“Daripada jumlah pinjaman besar yang diperolehi ini, sindiket akan mendapat keuntungan daripada cas yuran penyelesaian hutang lapuk sebanyak 40 peratus dan cas yuran perkhidmatan sebanyak 35 peratus,” katanya.
Menurut Azam, pihak sindiket menetapkan gaji minimum untuk layak memasuki program kewangan adalah sebanyak RM4,000 ke atas.
“Purata gaji peminjam adalah sebanyak RM6,000 dan kebanyakan mereka mempunyai hutang sedia ada seperti pembiayaan peribadi, kad kredit dan Hire Purchase (sewa beli).
“Setakat ini kita sudah merampas lebih kurang 4,000 dokumen dengan 98 akaun bank dibekukan berjumlah RM17.4 juta,” katanya.
Tambahnya, seramai 27 tangkapan dibuat membabitkan 18 pegawai bank, lapan daripada pihak syarikat dan satu orang awam di mana kesemua mereka dilepaskan daripada tahanan reman dengan jamin SPRM.
Terdahulu SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.
Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.- UTUSAN