BALIK PULAU: Sebanyak 60 buah motosikal disita manakala 170 saman dikeluarkan dalam satu operasi untuk membanteras samseng jalanan yang dijalankan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, operasi itu bermula kira-kira pukul 4 pagi dan menyasarkan kumpulan penunggang motosikal yang dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 120 buah motosikal diperiksa dalam operasi itu dengan 60 daripadanya telah disita atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk pengubahsuaian motosikal secara haram dan sebagainya.
”Satu tangkapan juga telah dibuat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memasukkan nombor pendaftaran palsu dan mengubah enjin motosikal. Kesalahan ini dianggap serius kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Sazalee, sebanyak 170 saman atas pelbagai kesalahan seperti pengubahsuaian motosikal, pemanduan tanpa lesen yang sah, tiada cukai jalan, dan lain-lain pelanggaran undang-undang trafik turut turut dikeluarkan sepanjang operasi itu berlangsung.
Selain itu, katanya, polis turut mengesan beberapa penunggang yang melakukan aksi berbahaya seperti aksi Superman serta berlumba di atas jambatan.
“Keadaan ini bukan sahaja membahayakan nyawa mereka sendiri tetapi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Sementara itu, Sazalee berkata, polis turut menjalankan satu lagi operasi samseng jalanan di kawasan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu berhampiran Seagate yang sering menjadi tumpuan mat rempit berlumba haram, semalam.
“Dalam operasi itu, seramai lapan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an ditahan kerana berlumba haram dan lapan buah motosikal mereka turut disita kerana kesalahan tersebut. Semua mereka akan direman dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN