PETALING JAYA: Polis menahan empat lagi individu termasuk seorang bekas datuk bandar menerusi Op Ragata bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan sebuah syarikat penyiaran di Sarawak.
Tangkapan tersebut dilakukan susulan penahanan lima individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penyiaran di negeri terbabit pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keempat individu termasuk dua wanita berusia antara 53 hingga 71 tahun itu ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Kuching, Sarawak.
Katanya, tangkapan pertama melibatkan dua individu termasuk seorang wanita berusia 53 dan 62 tahun membabitkan seorang pengarah sebuah syarikat pada 7 petang, semalam
“Kedua-dua individu terbabit kini direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Kami turut merampas kira-kira 32 dokumen di sebuah syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, tangkapan baharu membabitkan dua individu iaitu seorang bekas datuk bandar di Sarawak berusia 67 tahun dan seorang bekas pengurus besar syarikat penyiaran terbabit.
“Kedua-dua individu terbabit ditahan hari ini dan kami akan memohon reman terhadap mereka.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan kesemua suspek dengan kes ini,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan lima individu berusia 26 hingga 62 tahun ditahan membabitkan CEO sebuah syarikat penyiaran di Sarawak, isteri, dua anaknya serta adik ipar ditahan di Sarawak dan Pulau Pinang.
Razarudin dilaporkan berkata, tangkapan dilakukan susulan maklumat risikan dan maklumat mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan dikenal pasti membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September tahun lalu.
Menurutnya, suspek disyaki turut menipu tender selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.
“Hasil daripada serbuan dijalankan, pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman turut menyita serta membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420 KK, Seksyen 403 KK dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya.-UTUSAN