Op Airways: Penguat kuasa dipercayai terima rasuah RM6,000 sehari lepaskan lori - Azam Baki

Op Airways: Penguat kuasa dipercayai terima rasuah RM6,000 sehari lepaskan lori – Azam Baki

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati nilai rasuah yang diberikan kepada pegawai penguat kuasa di pintu masuk Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dipercayai mencecah RM6,000 sehari.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, nilai rasuah yang diberikan kepada pegawai penguatkuasa bergantung kepada jenis lori dilepaskan mengikut kategori dengan pecahan lori satu tan iaitu RM150, tiga tan (RM300), lima tan (RM500) dan atas lima tan (RM750).

Katanya, kekerapan lori pelbagai jenis itu akan keluar dari FCZ KLIA kira-kira 20 buah lori sehari dengan anggaran nilai rasuah yang diberikan sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sehari

“Lori-lori tersebut dilepaskan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa di FCZ KLIA mempunyai pelbagai kesalahan terutamanya penyeludupan. 

“Berdasarkan hasil risikan dan siasatan dijalankan, sindiket penyeludupan vape keluar dari FCZ KLIA ini dipercayai  aktif menjalankan kerja-kerja penyeludupan sejak dari tahun 2023.

“Buat masa ini, SPRM sedang mengenal pasti suspek-suspek lain serta penglibatan mereka dalam aktiviti sindiket penyeludupan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menggempur gudang utama digunakan sindiket selain sedang mengenal pasti lokasi-lokasi lain.

Jelasnya, setakat ini rampasan dan sitaan vape dibuat di beberapa lokasi seperti di atas lori serta di gudang penyimpanan sindiket. 

“Kita turut menyita pelbagai barangan antaranya komputer, telefon bimbit, barangan berjenama dan wang tunai manakala jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan sebanyak RM17.9 juta,” katanya.

Media semalam melaporkan SPRM menahan kira-kira 14 individu berusia 20 hingga 60-an melalui Op Airways di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, hasil risikan selama tiga bulan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat selain turut merampas ratusan ribu vape yang melibatkan kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta.

Modus operandi sindiket ialah merasuah pegawai-pegawai penguat kuasa yang bertugas dengan habuan ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan.

Kesemua enam pegawai kastam, empat pengarah syarikat dan dua individu telah direman selama empat hari sehingga 25 Januari, seorang lagi pengarah syarikat direman selama lima hari sehingga 26 Januari, manakala seorang lagi pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya