Ombak mengganas lebih daripada biasa

Ombak mengganas lebih daripada biasa

HAKISAN pantai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu hakisan pantai menjadi masalah yang semakin serius semasa musim tengkujuh terutama di kawasan Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan disebabkan hempasan ombak yang semakin ‘mengganas’ berbanding ke­bia­saan.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Norasman Othman berkata, faktor utama seperti angin kencang dan ribut yang kuat semasa luruan monson di Laut China Selatan menyebabkan tenaga ombak semakin membesar ‘menghempas’ permukaan pantai, sekali gus meyebabkan tanah serta pasir pantai mudah ditarik ke dasar laut.

Situasi itu diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar dan ombak hampir setinggi 3.5 meter melanda negara pada minggu ini yang meningkatkan risiko hakisan di pesisir pantai berkenaan.

“Ini jelas terbukti di beberapa kawasan Pantai Timur yang sedang mengalami isu hakisan pantai yang agak serius ekoran kekerapan berlakunya kejadian kerosakan harta benda seperti rumah, jalan raya, chalet dan lain-lain.

“Secara umum, fenomena kenaikan paras laut akibat pemanasan global juga menyebabkan air laut cenderung menghakis kawasan pantai yang lebih rendah. Ini secara tidak langsung meningkatkan lagi risiko kerugian yang agak besar terhadap ekonomi dalam sektor pelancongan dan kemudahan infrastruktur,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Akhbar ini baru-baru ini melaporkan kawasan Pantai Timur negara semakin hilang kawasan daratannya apabila garis pantai di Terengganu, Pahang dan Kelantan mengalami hakisan sejauh 175 kilometer (km) sepanjang tahun lalu.

Jarak hakisan itu melibatkan 49 lokasi dengan Terengganu paling banyak terjejas iaitu 34 kawasan sejauh 66.09 km di ikuti Pahang (11 kawasan sejauh 100 km) dan Kelantan empat kawasan (9.2 km).

Mengulas lanjut, Dr. Norasman berkata, aktiviti manusia dilihat sebagai antara peyumbang kepada peningkatan kadar hakisan pantai.

“Sebagai contoh, aktiviti pembangunan pesisir pantai seperti pembinaan perumahan, jalan raya, pelabuhan dan kawasan pelancongan menyebabkan perubahan aliran air semula jadi yang mengganggu proses pemendapan. Faktor ini juga antara punca yang menghalang aliran sedimen secara semulajadi yang sepatutnya berfungsi menstabilkan keadaan morfologi pantai.

“Oleh itu, kajian terperinci mengambilkira semua analisis kesan faktor-faktor yang terlibat dalam risiko berlakunya hakisan termasuk pelan mitigasi untuk jangka masa pendek dan panjang perlu diberikan perhatian sepenuhnya bagi mencari solusi yang terbaik untuk semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai cara atau kaedah mengurangkan kesan hakisan pantai yang biasa dipraktikan di Malaysia dan negara luar seperti penambakan tanah, pemasangan blok konkrit, pembinaan lapis lindung batu dan benteng pemecah ombak.

“Bagaimanapun, pembinaan benteng pemecah ombak dilihat sebagai kaedah mitigasi terbaik kerana ia tahan lama dan sesuai untuk jangka masa panjang dalam mengawal hakisan pantai berbanding kaedah lain. Cuma kaedah ini memerlukan kos yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya