KEMAMAN: Lelaki orang orang upaya (OKU) ketidakupayaan mental yang dibelasah di pasar pagi di Padang Astaka Chukai, di sini dibenarkan keluar dari hospital, semalam.
Isterinya, Faridah Abdul Karim, 44, berkata, suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau dikenali sebagai Paijang, dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas dirawat selama 12 hari di Wad Psikiatri hospital itu.
“Alhamdulillah, keadaan suami kembali sihat dan dibenarkan keluar dari hospital petang semalam. Suami bertambah ceria namun ada mengadu terasa sedikit sakit di bahagian tulang rusuk. Masa dirawat tu dia tidak mengadu sakit, mungkin baru terasa, impak dari dipukul,” katanya hari ini.
Faridah berkata, dia dan keluarganya telah pulang ke kediaman mereka di Kampung Mak Chili, di sini dan sedang membuat persiapan untuk mengerjakan umrah bulan depan.
“Alhamdulillah, bila suami dah dibenarkan pulang, kami boleh membuat persiapan untuk menunaikan umrah bersama anak lelaki, Ahmad Fakhrie, bulan depan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada 17 Januari lalu, Paijang cedera ringan selepas dipukul, disepak dan diheret beberapa individu selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.
Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan. Setakat ini, enam individu dipercayai terlibat dalam insiden itu telah berjaya ditahan polis dan pihak polis masih menunggu laporan perubatan Ahmad Nor Al Faizan daripada Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. – UTUSAN