Obor-obor beracun muncul semula di Pantai Hiburan

Obor-obor beracun muncul semula di Pantai Hiburan

SENGATAN obor-obor Portuguese Man o’War mampu menyebabkan badan mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan boleh membawa kepada maut. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Kemunculan obor-obor berbisa Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya physalia physalis di Pantai Hiburan di sini, mencuri tumpuan kerana ia adalah kejadian yang jarang berlaku di pantai berkenaan.

Peniaga Medan Selera Pantai Hiburan, Rahimi Abd. Hamid, 56, berkata, sejak berniaga di situ pada 2011, ini kali pertama dia menyaksikan kemunculan spesies itu di sepanjang pantai tersebut.

“Kalau tidak silap, kali terakhir saya lihat obor-obor jenis ini sekitar 45 tahun lalu, waktu saya kecil. Spesies ini jarang muncul. Kebiasaannya, obor-obor beracun seperti ini berada di laut dalam.

“Tetapi mungkin fenomena air pasang besar menyebabkan ia muncul di persisiran pantai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Rahimi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah mengeluarkan amaran kepada penduduk dan peniaga mengenai bahaya obor-obor tersebut.

“Pihak Majlis Daerah Rompin sudah menyampaikan peringatan melalui kumpulan WhatsApp kami. Kalau ada pelanggan datang, saya juga memaklumkan kepada mereka tentang amaran tersebut dan meminta supaya mereka berhati-hati,” ujarnya.

Pengunjung, Noradilah Abdullah, 30, berkata, fenomena obor-obor beracun naik ke Pantai Hiburan itu bukan sesuatu yang asing, namun kemunculan spesies tersebut menarik perhatian.

“Sebelum ini sekitar 2019 pernah berlaku kejadian obor-obor berbisa naik ke Pantai Hiburan, tetapi mungkin spesies lain. Kali ini saya tahu tentang obor-obor biru ini melalui Facebook dan segera mengingatkan anak-anak tentang bahayanya.

“Kami diajar mengenal pasti obor-obor beracun, sama ada yang masih berbisa atau sudah mati, melalui perubahan warna. Kalau sudah mati, warnanya lebih pudar,” jelasnya.

Walaupun fenomena ini membimbangkan, Noradilah berkata, pantai masih menerima kunjungan ramai, termasuk pelancong luar yang mungkin tidak menyedari bahaya obor-obor itu.

Dia yang tinggal di Sungai Puteri di sini, berharap pengunjung dapat mematuhi arahan pihak berkuasa dan lebih berhati-hati ketika berada di kawasan pantai terbabit bagi mengelakkan insiden tidak diingini akibat sengatan obor-obor yang juga dikenali dengan nama bluebottles itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya