PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang papan tanda Diod Pemancar Cahaya (LED) sebagai usaha mengurangkan ancaman hidupan liar itu semakin membimbangkan.
NRES dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu bukan sahaja memberi amaran kepada kehadiran hidupan liar tetapi juga sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya untuk lebih peka dan bertanggungjawab ketika memandu.
“Sehingga kini, Jabatan Perhilitan telah memasang satu unit papan tanda LED di Jalan Raya K13, Empangan Pedu-Gubir, Sik, Kedah dan satu lagi unit di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik berhampiran dengan perkampungan Orang Asli Air Banun, Perak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, NRES bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan lawatan pemantauan ke kawasan pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Rimba Teloi, Kedah pada 6 Januari lalu.
Lawatan juga disertai oleh wakil dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).
Pada masa sama, NRES memaklumkan terdapat 13 kawasan pembangunan ladang hutan telah diluluskan di dalam kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi dengan keluasan seluas 4,085 hektar sejak tahun 2014 hingga 2020.
Namun, katanya, pada masa ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah memberhentikan sementara kerja-kerja pembangunan ladang hutan di kawasan Kompartmen 66 dan 67 sehingga mendapat kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA).
Sebelum ini, Hutan Simpan Rimba Teloi yang berkeluasan 33,148.95 hektar telah diwartakan oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah pada 10 Mei 1953.
Terdapat lokasi di Hutan Simpan Rimba Teloi pula telah diisytiharkan sebagai kawasan pembangunan ladang hutan di negeri Kedah dan kawasan ini telah diluluskan untuk pembangunan ladang hutan oleh kerajaan negeri pada tahun 2015.
“Bermula 2021, Kerajaan Negeri Kedah tidak lagi meluluskan kelulusan baharu pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Kedah.
“Perkara ini adalah selaras dengan keputusan Majlis Tanah Negara ke-79 berhubung moratorium bagi kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia.
“Di samping itu, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bersama-sama dengan agensi teknikal lain seperti JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi memastikan pihak pemaju sedia ada mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Selain itu, NRES berkata, lawatan pemantauan itu telah memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat untuk meninjau sendiri pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh jabatan di Negeri Kedah, termasuk penguatkuasaan terhadap aktiviti yang tidak mematuhi perundangan sedia ada di kawasan HSK.
“Komitmen pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, badan korporat, NGO dan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam dapat dicapai.
“Kementerian ini akan terus bekerjasama erat dengan semua pihak bagi merealisasikan matlamat negara yang lebih lestari demi generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN