PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil langkah proaktif melalui pemantapan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) termasuk memperkukuh Standard Operasi Prosedur (SOP) yang berkaitan dengan pengurusan e-waste.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya memandang serius laporan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan pengurusan e-waste baru-baru ini.
Katanya, langkah itu dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan di samping memperkukuh integriti dan profesionalisme dalam usaha melindungi alam sekitar.
“Sebagai tambahan, kementerian menegaskan bahawa usaha ini melibatkan penambahbaikan menyeluruh terhadap prosedur dan garis panduan operasi yang meliputi aspek pemantauan, penguatkuasaan, dan penyiasatan.
“Langkah-langkah tersebut diambil bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan dipercayai susulan pendedahan EAIC bahawa terdapat cubaan daripada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) melepaskan kontena-kontena dipercayai mengandungi e-waste di Pelabuhan Klang.
Menurut agensi integriti itu, pegawai JAS yang disiasat didapati tidak mempunyai punca kuasa yang jelas dan justifikasi yang wajar dalam memutuskan perkara tersebut.
Malah, katanya turut terdapat beberapa lagi ketidakaturan hasil siasatan yang dilakukan susulan maklumat yang diterima pada Mei tahun lalu.
“Terdapat kebocoran maklumat dalaman berkaitan pertukaran Pengarah / Pegawai dan Pengarah / Pegawai baharu akan melepaskan kontena-kontena tersebut dan pihak atasan JAS gagal mengambil tindakan berhubung isu kebocoran maklumat ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kementeriannya melalui JAS turut menekankan kawalan ketat terhadap kemasukan e-waste ke negara ini.
Katanya, usaha itu dilaksanakan dengan mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta selaras dengan peraturan antarabangsa seperti Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.
“Langkah-langkah kawalan ini termasuk pemeriksaan ketat di pintu masuk negara, kerjasama strategik dengan agensi berkaitan, dan penggunaan teknologi pemantauan terkini bagi memastikan tiada kemasukan e-waste yang boleh menjejaskan alam sekitar atau kesihatan awam.
“Kementerian kekal komited untuk melaksanakan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pengurusan buangan yang mampan dan bertanggungjawab demi kelestarian alam sekitar negara,” katanya.-UTUSAN