PETALING JAYA: Pelakon, Nor Albaniah sedia bergelar isteri sekali lagi asalkan lelaki tersebut mahu menerima dirinya seadanya.
Nor Albaniah atau Nor Albaniah Raffie, 55, mengakui hatinya mula terasa sunyi setelah tiga tahun bergelar ibu tunggal.
“Kalau dulu bila ditanya soal kahwin lagi, memang saya cakap tidak mahu kerana sudah tua.
“Tapi kali ini saya beri jawapan berbeza sebab mula rasa sunyi. Kalau ada yang mahu, saya terbuka mahu mengenali,” katanya.
Albania ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Limbungan Tragedi Hitam 1975, di Starling Mall, semalam.
Pelakon itu tidak menolak seandainya berjodoh dengan lelaki lebih muda asalkan matang dalam kehidupan.
“Mungkin orang takut mahu dekati saya. Saya hanya mahu seseorang yang faham kerenah saya.
“Tentang usia saya tidak kisah sangat. Muda pun tidak mengapa asalkan matang.
“Saya tidak pernah bercinta sesama pelakon, kalau ada jodoh orang sesama industri, okay sahaja,” tambahnya yang tidak mempercayai aplikasi cari jodoh.
Terdahulu, Nor Albaniah pernah berkahwin sebelum suaminya, Sudarman Daud, meninggal dunia pada 1996 akibat kemalangan.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Syarra. -UTUSAN