KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Jepun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi perempuan di sebuah pusat beli belah, minggu lalu.
Noda Junko, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi perempuan dengan cara membuang mayat berkenaan di dalam tandas.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 3 dan 5 petang, 12 Januari lalu di tandas perempuan, aras 5, Pink Zone, Pavillion Bukit Jalil, Cheras di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin warganegara tempatan.
Bagaimanapun, peguam bela, Muhammad Afif Che Had yang mewakili Noda memohon ikat jamin rendah supaya anak guamnya dapat dibebaskan.
“Tertuduh telah bekerja dan menetap di Malaysia selama tiga tahun. Sebelum ini, dia tidak pernah disabitkan kesalahan sama ada di Malaysia atau di negara asalnya. Jadi, saya mohon jumlah jamin yang rendah ke atas anak guam saya bagi membolehkan dia pulang ke rumah,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan dua orang penjamin warganegara tempatan dan menetapkan 27 Mac hadapan untuk sebutan semula kes dengan syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.-UTUSAN