BACHOK: Seorang nenek terkilan kerana tidak dapat menyediakan makanan kepada seorang cucunya yang lapar sebelum keluar memancing dan kemudian ditemukan lemas di tali air di Kampung Kubang Telaga, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mayat Muhamad Amirul Mukminin Zehan, 17, ditemukan lemas kira-kira pukul 8.25 malam manakala adiknya, Muhammad Asadullah, 11, dijumpai pada pukul 9.29 pagi semalam selepas lebih 15 jam hilang.
Nenek kepada kedua-dua mangsa, Zainab Said, 73, berkata, sebelum kejadian, Muhamad Amirul Mukminin yang merupakan cucu sulungnya ke rumahnya pada pukul 8 pagi dan meminta wang sebanyak RM5 bagi membeli roti canai untuk sarapan pagi.
“Saya beri wang itu kerana dia mahu sangat makan roti canai di sebuah gerai. Dia datang lagi ke rumah pada pukul 5.30 petang dan mengadu lapar kerana makan nasi dalam kuantiti sedikit pada tengah hari.
“Saya meminta Muhamad Amirul Mukminin menggoreng telur di dapur untuk mengalas perut, namun dia enggan sebelum memberi alasan mahu keluar memancing bersama Muhammad Asadullah dan seorang lagi rakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Zainab berkata, selepas hampir sejam Muhamad Amirul Mukminin keluar, rakannya datang ke rumah dan memaklumkan bahawa arwah dan adiknya lemas di tali air.
“Saya sangat terkejut menerima perkhabaran itu kerana baru sahaja bertemu dengannya. Arwah Muhamad Amirul Mukminin merupakan cucu yang baik dan seorang pelajar yang cemerlang.
“Dia datang menjenguk dan berbual dengan saya di rumah setiap hari. Arwah juga sering membantu membeli barangan dapur di kedai kerana saya tidak larat keluar rumah akibat penyakit darah tinggi,” katanya.
Terdahulu, niat murni seorang abang untuk menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam tali air berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka lemas di Kampung Kubang Telaga, kelmarin. – UTUSAN