KOTA TINGGI: Golongan nelayan di Sungai Musoh, Pengerang, dekat sini mendakwa menanggung kerugian sehingga mencecah RM10,000 apabila peralatan mereka rosak dibadai ombak besar dan angin kencang awal pagi semalam.
Ketua Komuniti Nelayan Sungai Musuh, Mohammad Jaffar berkata, sekurang-kurangnya lima orang nelayan terjejas akibat kejadian itu dengan masing-masing mengalami kerugian antara RM1,000 hingga RM10,000.
“Pelbagai barangan dan kelengkapan menangkap hasil laut rosak dan hilang akibat dibadai ombak besar dan angin kencang.
“Situasi itu berlaku sejak bulan lalu dan memang sudah beberapa kali terjadi, namun apabila memasuki gelombang kedua, ia lebih teruk.
“Apabila ombak besar hampir 3.2 meter, ditambah pula angin yang kuat, banyak barang nelayan mengalami kerosakan termasuk bubu udang, jaring tagan, jaring berhanyut dan jaring umpan,” katanya ketika ditemui di Sungai Musoh, Pengerang di sini semalam.
Katanya, terdapat bot nelayan yang diletak di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh turut rosak akibat kejadian itu.
“Saya harap ada pihak yang boleh turun lihat apa yang nelayan alami di sini, harap dapat bantu segera kerana kami mahu turun semula ke laut, mungkin pada bulan Mac selepas monsun ini berakhir,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban nelayan terlibat.
“Mereka tidak dapat turun ke laut dan mengalami kerugian agak besar, jadi, kita cuba cari ruang untuk bantu merek,” katanya. – UTUSAN