Nelayan Myanmar tangkap ikan secara haram ditahan

Nelayan Myanmar tangkap ikan secara haram ditahan

Nelayan haram
BOT yang dinaiki nelayan Myanmar ditahan pasukan APMM di perairan Kuala Selangor, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Dua vesel dinaiki sekumpulan nelayan warga Myanmar ditahan pihak berkuasa selepas dikesan menangkap ikan secara haram di sekitar perairan daerah ini, kelmarin.

Penahanan Vesel Nelayan Tempatan (VNT) itu dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor masing-masing pukul 3.05 petang dan 9.05 malam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, perkara itu dikesan pihaknya yang menjalankan rondaan rutin penguatkuasaan Ops Ehsan, Op Murni dan Op Tiris di perairan Selangor.

“Penahanan pertama melibatkan VNT kelas A di kedudukan 27.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor. Pemeriksaan mendapati vesel itu melakukan aktiviti perikanan tanpa lesen sah atau lesen telah tamat tempoh.

“Selain itu, dua awak-awak warga Myanmar berusia 34 dan 42 tahun didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambah Abdul Muhaimin, pihaknya turut menahan VNT kelas B1 di kedudukan tujuh batu nautika barat daya muara Tanjong Karang.

“Seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berusia 23 hingga 29 tahun yang mengendalikan vesel itu ditahan bagi tindakan lanjut. Selain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, mereka beroperasi kurang dari lapan batu nautika dari daratan,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959 antaranya atas kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan tanpa lesen yang sah atau tamat tempoh.

“Kesemua nelayan itu bersama vesel dan hasil rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya