Nelayan kumpul duit sendiri baik pulih jeti

Nelayan kumpul duit sendiri baik pulih jeti

Pakatan Nelayan Pengkalan Penghulu, Serkat, di sini membelanjakan RM2,000 bagi membaik pulih jeti lama yang kian uzur demi memastikan keselamatan orang awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pakatan Nelayan Pengkalan Penghulu, Serkat, di sini membelanjakan RM2,000 bagi membaik pulih jeti lama yang kian uzur demi memastikan keselamatan orang awam.

Bendahari Pakatan Nelayan Pengkalan Penghulu, Zaini Ali, 42, berkata, usaha itu dibuat memandang­kan harapan untuk memperoleh jeti baharu di pengkalan nelayan tersebut seperti menunggu ‘bulan jatuh ke riba’.

Katanya, jeti berkenaan adalah laluan utama digunakan orang awam khususnya pe­langgan yang mahu ke Warung Terapung Santan Berlada yang menyediakan hida­ngan asam pedas di situ.

“Ahli-ahli pakatan nelayan mengharapkan sesuatu yang positif daripada pihak berwajib khususnya Jabatan Peng­airan dan Saliran (JPS) sebagai agensi pelaksana projek tersebut.

“Sempena cuti persekolahan ini, ramai pengunjung datang bagi menikmati asam pedas yang diusahakan oleh ahli kami sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan keluhan ahli-ahli Pakatan Nelayan Pengkalan Penghulu yang telah menunggu selama tujuh tahun bagi memperoleh jeti yang baharu.

Mereka mendakwa jeti sepanjang 120 meter dengan kos RM1 juta telah dijanjikan oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Allahyarham Datuk Seri Sallehudin Ayub pada tahun 2018 lalu.

Facebook Komuniti Pengkalan Nelayan Serkat semalam memaparkan beberapa nelayan bergotong royong memasang papan baharu di atas jeti bagi memastikan ke­selamatan orang ramai yang melalui jeti tersebut.

Walaupun terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri namun mereka terpaksa berbuat demikian kerana terdapat beberapa bahagian di jeti didapati telah runtuh dan membahayakan bagi orang ramai.

Tambah Zaini, dia difahamkan melalui sumber-sumber tertentu, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada bulan hadapan ini tetapi belum mendapat kepastian sebenar.

“Jika benar pembinaan akan bermula pada bulan depan, kami semua bersyukur dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang telah memudahkan urusan para nelayan di pangkalan ini,” ujarnya.

Katanya, ahli-ahlinya berharap isu jeti baharu dapat di­selesaikan dengan kadar segera sebelum lebih banyak runtuhan berlaku memandang­kan jeti tua itu berusia lebih 25 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya