LANGKAWI: Tiga orang nelayan yang hilang selepas keluar merawai pada Khamis lepas berdekatan Pulau Payar, di sini berjaya ditemukan dalam keadaan selamat di Indonesia, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima maklumat daripada keluarga mangsa yang memaklumkan penemuan itu.
Katanya, ketiga-tiga mereka ialah Asrulhisham Zainon, 47, bersama anaknya, Shahril Aiman, 16, dan seorang awak-awak, Mohamad Al-Amin Sufian, 29.
“Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah menerima maklumat dari waris mangsa memaklumkan mereka telah dihubungi mangsa sebentar tadi. Mangsa memaklumkan mereka kini berada di Indonesia.
“Pihak Maritim Malaysia juga telah menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia untuk pengesahan dan dimaklumkan bahawa ketiga-tiga mangsa selamat dan berada dalam keadaan baik,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan tiga nelayan dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah dari menangkap ikan dengan merawai sejak petang Khamis lalu.
Operasi SAR melibatkan aset udara dan sebuah kapal milik Maritim Malaysia, bot ronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan untuk melakukan pencarian sejauh 371.28 batu nautika persegi. – UTUSAN