KUALA LUMPUR: “Susah jadi anak perantau. Banyak momen bersama keluarga saya terlepas.”
Demikian kata pelakon kelahiran Sabah, Tracie Sinidol yang terpaksa menggadaikan masanya bersama keluarga di saat namanya sedang meniti kejayaan di Semenanjung Malaysia.
Tak mampu menahan sebak, Tracie berkata dia ralat apabila tidak dapat pulang ke bumi kelahirannya selepas menerima perkhabaran tentang pemergian nenda tercinta.
“Sebagai perantau, banyak perkara yang saya tidak kongsikan dengan orang lain. Apatah lagi tiket penerbangan untuk pulang ke sana sangat mahal dan banyak prosesnya.
“Paling sedih apabila saya mendapat berita bahawa nenek saya meninggal dunia. Ketika itu saya sedang menjalani penggambaran drama dalam hutan.
“Bayangkan dengan tiada sebarang liputan, saya orang terakhir mendapat khabar itu. Hati ini membuak-buak mahu balik tetapi tiket penerbangan ke Sabah tiada. Perasaan itu sangat menyakitkan bagi saya,” katanya.
Tracie berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama Gadis Masa di Aloft Kuala Lumpur, pada Selasa.
Meskipun banyak kisah pahit yang perlu dipendam sendiri, Sumandak Sabah itu tetap kuat dan cekalkan diri mencari rezeki di Semenanjung selain enggan membuat keluarganya bimbang.
“Saya cuba untuk buat yang terbaik dan nampak kuat demi keluarga supaya mereka tidak risau dengan keadaan saya di sini.
“Memang susah, banyak perkara yang saya simpan sendiri supaya mereka tidak fikirkan keadaan saya di sini. Tetapi sekiranya ada kelapangan masa, saya akan cuba pulang dan jenguk keluarga,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Tracie bakal membintangi drama bersiri Gadis Masa terbitan Viu Originals yang akan ditayangkan pada 23 Januari 2025.
Selain Tracie, drama itu turut dibarisi pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Mira Filzah, Bella Dowanna dan ramai lagi. -UTUSAN