CERITA ini baru sahaja sampai ke telinga Cik Bunga, orang kata panaspanas lagi ini. Berkenaan penyanyi, Naqiu.
Khabarnya, penyanyi yang pernah bergelar vokalis kumpulan Boboy ini telah menjadi mangsa penipuan individu yang juga merupakan usahawan produk.
Cik Bunga tidak pasti juga produk apa, iyalah sekarang ini pun macam-macam produk ada di pasaran. Entah produk kosmetik atau produk kesihatan, boleh jadi juga bukan.
Cuma menerusi khabar angin yang Cik Bunga terima ini, kononnya Naqiu sudah berurusan lama dengan individu terbabit.
Mungkin kerjanya sudah selesai dilakukan, namun duit gajinya tidak dibayar. Pula itu, individu terbabit kononnya selalu menghimpit golongan artis dan selebriti. Khabarnya lagi, selain Naqiu, pemangsa juga telah menipu ramai selebriti dan artis lain tetapi tidak pula antara mereka tampil membuka cerita.
Agaknya masing-masing tunggu masa tepat untuk heret individu itu ke muka pengadilan. Lebih kurang begitulah cerita yang Cik Bunga dengar.
Namun, jumlah bayaran yang sepatutnya dibuat oleh individu tersebut bukan kecil anak. Banyak angka juga.
Tak berani Cik Bunga hendak sebut jumlah sebenar. Mungkin kita tunggu Naqiu sendiri yang beri penjelasan sebenar.
Tapi itulah, bagi Cik Bunga kasihan juga dengan golongan artis kita ini yang selalu menjadi sasaran orang tidak bertanggungjawab seperti ini.
Ramai sebenarnya yang termakan kata-kata dan janji manis individu yang kononnya menggelarkan diri mereka ini usahawan, rakan bisnes, atau atas alasan mahu bantu naik taraf hidup seseorang.
Tetapi, hujung cerita, ke laut semua, hidup menipu manusia lain sampai mangsa terpaksa menanggung hutang yang banyak. Ini contoh situasi sahaja Cik Bunga berikan. Memang wujud pun dalam masyarakat kita bukan?
Apa pun, Cik Bunga harap Naqiu dapat buka mulut mengenai hal ini.
Mana tahu dapat selamatkan lebih ramai individu lain yang berpotensi jadi mangsanya atau sekurangkurangnya dia segeralah bayar hutang Naqiu itu. Hutang wajib dibayar ya!