PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu beliau melantik syarikat luar untuk menjalankan kerja-kerja publisiti atas kapasiti rasminya kerana tidak mahu menyusahkan kerajaan.
Najib mengatakan, khidmat syarikat luar diperlukan memandangkan media arus perdana tidak cukup tangan untuk menyampaikan mesej kerajaan dan terdapat kumpulan yang sukar menerima polisi kerajaan.
Beliau juga menyatakan tidak melantik mana-mana penjawat awam untuk melakukan kerja-kerja sedemikian kerana pada ketika itu susah hendak mencari penjawat awam yang mahir bahasa Inggeris.
Pada prosiding sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif ORB Solutions, Norhaina Hirawani Md. Noor dalam keterangannya menyatakan Najib telah mengeluarkan cek RM2 juta bagi pembayaran kos operasi syarikat ORB Solutions Sdn. Bhd. iaitu syarikat pembangunan aplikasi dan strategi komunikasi untuk bekas Perdana Menteri itu yang merupakan satu-satunya pelanggan syarikat itu.
Selain itu, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Wong Nai Chee dalam keterangannya menyatakan beliau menyerahkan wang milik Najib sebanyak RM238,914 kepada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Lim Soon Peng bagi bayaran yuran pentadbiran Facebook Ah Jib Gor dan penerbitan Chinese Weekly, sekitar Februari 2015.
Sebuah lagi syarikat, Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. menerima pembayaran sebanyak RM23 juta daripada Najib melalui 39 keping cek yang diserahkan sendiri bekas Ahli Parlimen Pekan itu itu di Pejabat Perdana Menteri (PMO) setiap bulan selama tiga tahun.
Bayaran itu adalah bagi perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris untuk Najib.
Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, bekas Presiden UMNO itu menafikan kesemua bayaran itu dibuat menggunakan wang yang diterima daripada Tanore Finance Corp.
Terdahulu, Najib menafikan duit yang diterima daripada syarikat yang dikawal oleh sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho bernama Eric Tan Kim Loong itu adalah wang haram.
“Saya setuju saya terima wang daripada Tanore, saya setuju dengan jumlah (yang dinyatakan dalam pertuduhan) tetapi saya tidak setuju duit itu duit haram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar pada prosiding bela diri kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Istana Kehakiman, Putrajaya semalam.-UTUSAN