Najib persoal gaya hidup Jho Low

Najib persoal gaya hidup Jho Low

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan beliau pernah mempersoalkan gaya hidup ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang disifatkan sebagai terlalu bermegah.

Katanya, beliau berbuat demikian kerana berasa tidak selesa dengan cara hidup Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho yang pada ketika itu sering diperkatakan dan dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam menunjukkan kepada Najib, laporan portal berita yang memaparkan pembelian hartanah mewah dan beberapa lukisan berharga.

“Saya ada bersemuka dengan Jho (panggilan Najib kepada Jho Low) kerana saya tidak merasa selesa dengan cara hidupnya yang bermegah-megah ketika itu.

“Beliau berulang kali menyatakan pembelian-pembelian tersebut dibuat bagi pihak Sheikh Mansour,”kata Najib.

Sheikh Mansour merupakan adik kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Selain itu, Najib tidak bersetuju dengan cadangan Mohamad Mustaffa bahawa beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak atau mencari kebenaran berhubung `khabar angin’ berhubung penyelewengan dana 1MDB yang dikaitkan dengan Jho Low.

Mohamad Mustaffa: Datuk Seri bersetuju bahawa dari semasa ke semasa, Jho Low muncul dalam berita atas pelbagai sebab?
Najib: Ya.

Mohamad Mustaffa: Adakah Datuk Seri mengetahui gambar Jho Low bersama waris hotel, Paris dan Nicky Hilton?
Najib: Saya tahu dia terbabit dalam beberapa acara publisiti, walaupun saya mungkin tidak biasa dengan artikel ini, tetapi saya sedar dia menerima publisiti yang tidak wajar.

Mohamad Mustaffa: Sebagai seorang Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Datuk Seri berada pada satu kedudukan yang memboleh Datuk Seri memeriksa, mencari kebenarannya.
Najib: Apa yang berlaku adalah di luar negara.

Mohamad Mustaffa: Tapi Datuk Seri boleh dapatkan kebenarannya tetapi Datuk Seri memilih untuk pejamkan mata dan enggan melibat perkara yang jelas di depan mata.
Najib: Saya tak setuju. Saya tidak selesa (dengan perkara yang sedang diperkatakan) sebab itu saya bersemuka dengannya.

Mohamad Mustaffa: Datuk Seri tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Jho Low ketika itu kerana Jho Low sedang melakukan kerja-kerja bagi pihak Datuk Seri.
Najib: Tidak, tidak. Saya tdak bersetuju.

Perbicaraan kes penyelewengan dana yang berada di peringkat bela diri di Istana Kehakiman bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya