PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi memberikan kebenaran kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Naib Razak untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding hari ini menentang penghakiman terbabit.
Menurut keputusan majoriti yang dibacakan oleh Hakim Mohd. Firuz, Najib telah memenuhi prinsip untuk memasukkan bukti baharu pada ketika ini.
Tambahan, tiada sebarang bukti untuk mencabar kewujudan atau kesahihan titah adendum itu dikemukakan oleh mana-mana responden.
“Pada peringkat ini, kami tidak menekankan mengenai kesahihan (authenticity) (titah adendum) sebaliknya lebih kepada sama ada titah itu wujud atau tidak. Disebabkan tiada sebarang cabaran yang mempertikaikan kewujudannya (oleh responden), maka tiada sebarang justifikasi untuk kami untuk menyatakan bahawa prinsip untuk memasukkan bukti baharu tidak dipenuhi.
“Kami berpendapat bahawa, kegagalan responden untuk mencabar mengenai kewujudan adendum itu juga menunjukkan bahawa mahkamah ini tidak boleh mengetepikan kewujudan titah Yang di-Pertuan Agong itu,” kata Hakim Mohd. Firuz.
Keputusan majoriti itu juga membenarkan kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah itu dan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar di hadapan hakim yang berlainan.
Pada 3 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mencabar perintah berhubung adendum itu atas alasan kesemua afidavit yang menyokong permohonan semakan itu adalah `dengar-cakap’.
Sementara itu, ketika membaca keputusan minoritinya, Hakim Azizah menyatakan permohonan untuk memasukkan surat mengesahkan titah adendum tidak mempunyai merit.
Hakim itu turut menolak rayuan Najib berhubung rayuan berhubung kebenaran semakan kehakiman itu.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.
Menurut permohonan semakannya, selain AGC, Najib turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) sebagai responden pertama hingga kelima.
Turut dimanakan ialah Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden keenam dan ketujuh. – UTUSAN