PUTRAJAYA: Walaupun mengetahui dan menyedari mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib masih lagi ingin menggunakan `perkhidmatan’ lelaki itu.
Ujar Najib, Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho mempunyai hubungan peribadi dengan mereka yang berkedudukan di China dan beliau ingin menggunakan kelebihan itu untuk Malaysia.
Tambahnya, walaupun mendengar `cerita tidak baik’ mengenai lelaki berkenaan, namun Najib mendakwa tidak mengetahui sejauh mana kebenarannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib: Pada 2016, cerita tentang 1MDB ini sedang hangat diperkatakan di seluruh negara.
Najib: Setuju.
Ahmad Akram: Pada ketika itu, individu yang dikatakan dalang atau punca kepada kesemua kejadian ialah individu bernama Jho Low, sebagai seorang yang tidak baik, orang yang menyeleweng dana 1MDB.
Najib: Ya, tapi saya tidak tahu the full extent (keseluruhan cerita).
Ahmad Akram: Cerita berkenaan Jho Low agak heboh, ada (juga) gambar dia berparti atas kapal dengan beberapa individu.
Najib: Betul.
Ahmad Akram: Jadi Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri sebagai Perdana Menteri, masih lagi memilih Jho Low, orang dikatakan menipu negara ketika itu, untuk membantu Amhari.
Najib: Sebab dia )Jho Low) ada hubungan peribadi dengan orang di China. Tujuan saya ialah untuk janakan sebanyak mana kekayaan untuk Malaysia dengan secepat mungkin.
Ahmad Akram: Tapi kita ada duta (di China) Datuk Seri. Kenapa tak guna mereka?
Najib: Sebab dia ada hubungan peribadi. Bila Amhari kata terdapat perkembangan positif, baru saya libatkan pegawai-pegawai kerajaan, buat secara telus. Saya nak buat untuk Malaysia, Saya gunakan Jho Low to make as much money for Malaysia.
Pada prosiding hari ini, rakaman perbualan di antara seseorang yang `suaranya kedengaran seperti Najib’ dengan seorang individu dipanggil `His Royal Highness’ dimainkan di Mahkamah.
Najib bagaimanapun tidak mengakui keseluruhan audio itu adalah perbualannya dengan His Royal Highness namun menyatakan ada beberapa bahagian perbualan yang dirasakan `biasa didengar’.
Najib juga, berdasarkan transkrip perbualan itu, menafikan bahawa beliau mengetahui wang yang diberikan kepada anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz datangnya daripada 1MDB.
Riza Aziz merupakan pemilik syarikat Red Granite Pictures dan penerbit filem The Wolf of Wall Street dibintangi pelakon, Leonardo DiCaprio. – UTUSAN