PETALING JAYA: Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menerima harga beras baharu yang lebih relevan iaitu pada kadar RM3.60 per kilogram bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi.
Pada masa sama, kenaikan harga beras tempatan juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup 196,138 pesawah yang kebanyakannya berada di bawah paras garis kemiskinan (PGK).
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, masalah utama dihadapi pesawah adalah harga kawalan beras tempatan yang masih kekal RM2.60 per kilogram sejak tahun 2014.
Katanya, kadar harga beras tempatan itu tidak pernah diambil perhatian serius menyebabkan kebanyakan pesawah hidup di bawah paras garis kemiskinan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya amat kesal dan membantah sekeras-kerasnya tindakan menurunkan harga belian padi kepada RM1,300 satu tan metrik seperti yang diputuskan dalam mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) baru-baru ini.
“Penetapan harga ini adalah tidak adil dan langsung tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat. Harga padi minimum RM1,300 yang ditetapkan pada tahun 2023 sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan.
“Pelbagai kos telah melambung tinggi sepanjang tempoh tersebut, antaranya benih padi yang naik dua kali sejak 2023, terkini naik mendadak kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram.
“Kos membajak dan menuai juga meningkat ekoran penghapusan subsidi diesel. Ini memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai yang lebih tinggi.
“Kos sewa tanah yang turut meningkat sejak beberapa musim kebelakangan ini. Ditambah dengan kos racun kimia yang melambung tinggi, hampir empat kali ganda berbanding dua tahun lalu.
“Terakhir, kos upah penyelenggaraan sawah seperti meracun, menabur, dan membaja juga turut meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya amat kesal dengan perbincangan penetapan harga padi yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama pengilang tanpa melibatkan wakil pesawah.
Katanya, tindakan itu jelas menafikan suara dan hak pesawah dalam menentukan nasib mereka sendiri, oleh demikian, pihaknya menuntut kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum padi dan mengambil kira beberapa faktor termasuk kenaikan kos pengeluaran padi yang mendadak.
“Mereka juga perlu pertimbangkan pendapatan dan kebajikan pesawah dan harga beras tempatan yang realistik.
“Jika kerajaan masih mahu mengekalkan harga beras kepada RM2.60 per kilogram dan menurunkan harga padi kepada RM1300 per tan, pihak kementerian mesti menurunkan kos benih padi sah kepada RM28 per beg dan kos-kos lain yang berkaitan.
“Jangan berhenti setakat kilang dan memaksa pesawah yang sedia miskin menanggung kos makanan ruji orang yang lebih kaya,” katanya.-UTUSAN