PETALING JAYA: Kerja menaik taraf lampu jalan di sepanjang lebuh raya dan penyusunan semula papan tanda di plaza tol perlu disegerakan bagi mengawal kadar kemalangan.
Pakar keselamatan jalan raya, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, lampu jalan yang mencukupi adalah elemen penting bagi memastikan pemandu dapat melihat dengan jelas dan mengelak bahaya di hadapan mereka, terutama pada waktu malam.
Katanya, pencahayaan memainkan peranan utama terutama di kawasan yang dikenali sebagai ‘black spot’ iaitu lokasi kemalangan paling tinggi.
“Dalam proses audit keselamatan jalan raya, elemen pencahayaan sering menjadi aspek utama yang dinilai untuk meningkatkan keselamatan.
“Penggunaan lampu solar atau lampu daripada sumber elektrik lain boleh dipertimbangkan, tetapi keutamaan harus diberikan kepada pencahayaan yang cukup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membidas syarikat konsesi tol yang gagal menyediakan lampu jalan di sepanjang lebuh raya.
Menurut Akmal, keadaan jalan yang gelap di lebuh raya merupakan antara faktor utama kemalangan apabila pengguna tidak dapat melihat objek yang mungkin berada di atas jalan raya.
Dalam pada itu, Felo Perunding Gred UDC, Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ratnasamy Muniandy berkata, penyusunan semula papan tanda di plaza tol juga perlu dilaksanakan bagi memastikan aliran trafik lebih lancar.
Katanya, perkara tersebut selalunya dikenal pasti sebagai antara punca risiko kemalangan di lebuh raya.
“Langkah ini bertujuan mengelakkan masalah ‘weaving’ atau tenunan yang sering mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pemandu.
“Penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan termasuk penggunaan dron bagi tujuan pemantauan dan pengeluaran saman secara terus,” katanya.-UTUSAN