PETALING JAYA: Tayar sebuah lori yang tercabut sehingga mengakibatkan nahas di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ayer Keroh dipercayai berpunca daripada kerosakan pada hujung gandar hadapan kenderaan terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Mahmood Razak Bahman berkata, kenderaan berjenama Foton itu sudah melakukan pemeriksaan awalan pada 28 Mac lalu dan tarikh pemeriksaan selanjutnya pada 28 Mac ini.
Kata beliau, penemuan tersebut merupakan peringatan penting kepada pemilik kenderaan perdagangan untuk memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik dan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Penyelenggaraan secara berkala bukan sahaja penting untuk keselamatan pemandu tetapi juga bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Puspakom turut komited untuk meneliti dan memperketatkan tatacara operasi kami bagi memastikan setiap kenderaan yang diperiksa memenuhi piawaian keselamatan yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Terdahulu, media melaporkan, polis mengesahkan bahawa kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini, kira-kira pukul 8.30 malam semalam melibatkan lima kenderaan dan berpunca daripada tayar lori yang tercabut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang maut setakat ini adalah seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kereta Toyota Estima.
Dalam pada itu, Mahmood Razak berkata, Puspakom menyatakan sokongan terhadap usaha untuk memeriksa dan memantau bengkel berdaftar mahupun tidak berlesen yang disyaki menyediakan perkhidmatan penyewaan komponen kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di pusat pemeriksaan kenderaan.
Jelasnya, usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah tindakan terpuji yang mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa di atas jalan raya.
“Operasi ini wajar disokong oleh semua rakyat Malaysia, termasuk pemilik kenderaan perdagangan, bagi memastikan keselamatan bersama di jalan raya.
“Kami berharap tindakan JPJ dan KPDN dapat menghapuskan bengkel-bengkel yang menjalankan perniagaan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa bengkel yang menawarkan perkhidmatan tersebut untuk menghentikan kegiatan mereka bagi melindungi nyawa orang ramai.
“Bengkel-bengkel yang menawarkan perkhidmatan ini perlu sedar bahawa mereka mempertaruhkan nyawa demi keuntungan. Oleh itu, kami menyeru agar mereka menghentikan aktiviti tidak bertanggungjawab ini dengan segera.” Jelasnya.
Tambahnya, Puspakom bersedia untuk bekerjasama dengan JPJ dan KPDN dalam usaha pemantauan bagi memastikan integriti lebih terjamin dan masalah ini dapat diatasi dengan segera. – UTUSAN