PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa arahannya kepada bekas pegawai khas beliau, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin ke China pada 2016 adalah untuk menjaga kepentingannya.
Kepentingan yang dimaksudkan ialah penyelesaian hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International Sdn. Bhd.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa Amhari yang pada ketika itu Pengarah Ekonomi Jabatan Perdana Menteri ketika itu, diarahkan untuk ke China seorang diri namun ia bukanlah satu misi rahsia.
“Saya tidak setuju (untuk penyelesaian hutang). Macam mana China boleh selesaikan masalah hutang (1MDB dan SRC)? Amhari ke sana untuk meninjau sama ada China berminat untuk bekerjasama dalam One Road One Belt,”katanya ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Ahmad Akram: Kalau ini adalah urusan rasmi bagi kepentingan Malaysia, kenapa tidak libatkan sesiapa dari Wisma Putra atau Duta Malaysia Ke China?
Najib: Ini bukan rasmi, ini baru tinjauan. Kita akan libatkan Wisma Putra kalau ia melibatkan polisi luar tetapi ini berkaitan ekonomi. Duta akan dilibatkan apabila ia menjadi rasmi, China setuju bekerjasama.
Ahmad Akram: Tapi bukankah ada ramai lagi di Jabatan Perdana Menteri (PMO) yang lebih berkelayakan daripada Amhari, yang lebih berpengalaman dengan berurusan dengan negara luar?
Najib: Saya percaya dia mampu, lagipun dia ke sana untuk buat tinjauan dan bukannya untuk membuat sebarang keputusan. Saya perlukan seseorang yang boleh bagi saya maklum balas cepat.
Pada prosiding hari ini juga, Najib menyatakan terdapat kemungkinan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho berada dalam pertemuan itu namun bagi tujuan logistik.
Pada prosiding sebelum ini, Amhari ketika memberi keterangan menyatakan, beliau tertekan ketika diarahkan untuk pergi ke China bagi menjalankan tugas sulit ‘menyelamatkan’ hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada Jun 2016.
Amhari berkata, beliau diarahkan sendiri oleh Najib setelah ketua setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias meninggal dunia dan ia bermula dengan arahan untuk pergi ke China bertujuan mengesahkan terdapat persefahaman untuk meningkatkan hubungan dan pelaburan Malaysia-China.
Walaupun menghormati Ahli Parlimen Pekan itu, beliau bimbang sekiranya akan dilibatkan sama dalam percaturan antara Najib dan Jho Low sekiranya tujuan lawatan itu adalah bagi menutup isu kehilangan dana 1MDB, pembayaran hutang International Petroleum Investment Company (IPIC) atau penyediaan dana politik.
Inisiatif One Road One Belt merupakan satu inisiatif membabitkan enam projek infrastruktur berpotensi termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).
Bagaimanapun, Najib bersetuju dengan Ahmad Akram bahawa beliau menghantar Amhari ke Abu Dhabi bagi menyelesaikan isu antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) selepas lawatan bekas pembantu khas itu ke China.
Ujarnya, beliau memutuskan untuk menghantar Amhari dan bukannya pengurusan tertinggi 1MDB kerana beliau mahu seseorang yang boleh dipercayai daripada pejabatnya untuk mewakilinya ketika itu.
Tambahnya, ia juga berkutan permintaan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Investment Co, Khaldoon Khalifa Al Mubarak yang hanya ingin berjumpa seseorang daripada pejabatnya.
Najib turut tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa beliau mengarahkan Amhari menghadiri mesyuarat di Abu Dhabi untuk kepentingan peribadinya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN