MyAqsa bakal serah laporan bukti kekejaman Israel kepada ICC

MyAqsa bakal serah laporan bukti kekejaman Israel kepada ICC

LAPORAN bukti jenayah kekejaman Israel terhadap Palestin yang akan dikemukan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama Yayasan MyAqsa dan Kedutaan Negara Palestin menyerahkan laporan bukti jenayah kekejaman Israel terhadap Palestin yang akan dikemukan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, inisiatif ini merupakan yang pertama dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) khususnya usaha mengumpulkan bukti melalui lawatan lapangan ke Palestin termasuk Al-Quds, Wadi Al-Humus, Al-Isawiyah, Gaza dan Al-Khalil untuk mendapatkan bukti sebanyak mungkin. 

Kata beliau, walaupun usaha ini sangat berisiko dan sukar dicapai, namun sebagai rakyat Palestin, inisiatif ini adalah tambahan penting kepada semua usaha antarabangsa yang dilakukan oleh institusi-institusi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami berharap semua bukti yang dikemukakan kepada ICC ini akan menjadi langkah tambahan untuk mendakwa pemimpin-pemimpin Israel yang bertanggungjawab atas jenayah kejam terhadap rakyat Palestin,” katanya ketika sidang media penyerahan laporan bukti jenayah kekejaman di negara Palestin, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohd Hisham Mohd Kamal berkata, bukti tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada sesuatu tarikh yang ditetapkan.

Katanya, penyerahan ini merupakan hasil usaha penyelidikan intensif yang dijalankan oleh lima ahli akademik dari AIKOL dengan sokongan Yayasan MyAqsa.

“Yayasan MyAqsa telah menyediakan geran penyelidikan untuk membantu kumpulan penyelidik ini dalam mengumpul dan menganalisis bahan serta maklumat berkaitan genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

“Saya bersama pasukan iaitu lima ahli akademik dari AIKOL UIAM serta tiga pelajar sarjana muda berjaya menyiapkan laporan lengkap yang mengenal pasti 110 individu sebagai pelaku jenayah, termasuk Ketua Negara Israel, menteri dan pegawai tentera Israel.

Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, penyelidikan ini telah menganalisis setiap bukti dengan teliti untuk membuktikan elemen-elemen jenayah, termasuk perbuatan genosid.

“Antara kategori jenayah utama yang dikenal pasti adalah genosid, jenayah perang, dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Jenayah pencerobohan tidak dimasukkan dalam laporan ini atas sebab ICC tidak mempunyai bidang kuasa ke atasnya. Namun, Majlis Keselamatan PBB berpotensi untuk merujuk situasi tersebut kepada ICC bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Pengerusi Yayasan MyAqsa, Suwardi Yaacob berkata, laporan hasil kajian yang dijalankan ini akan dibentangkan untuk menunjukkan betapa kejamnya rejim yang telah melanggar semua undang-undang antarabangsa.  

“Saya sedia menggalas amanah ini dan laporan tersebut akan diserahkan kepada ICC dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya.  

Sementara itu, Dekan AIKOL, Prof. Farid Sufian Shuaib pula berkata, penyerahan bukti ini melambangkan komitmen tegas Malaysia dalam mempertahankan hak asasi manusia sejagat dan memastikan keadilan bagi rakyat Palestin yang tertindas.

“Langkah ini mendapat sokongan luas daripada komuniti antarabangsa dan diharapkan dapat menjadi dorongan kepada tindakan tegas terhadap pelaku jenayah di Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya