TUARAN: Kementerian Pendidikan memantau secara dekat perkembangan kes seorang murid tahun lima yang didakwa dipukul guru yang kini masih dalam tindakan pihak berkuasa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan memantau kes berkenaan sehingga selesai.
Beliau berkata, pihak kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap kes Amirul Akil Mohd.Izzat Emir, 12, yang didakwa dipukul seorang guru dalam kelasnya sehingga mengalami kecederaan.
“Kes ini dalam tindakan pihak berkuasa dan saya fikir apabila sudah sampai ke peringkat berkuasa, kita serahkan siasatan penuh kepada mereka. Namun, kita akan sentiasa membantu dalam soal siasatan.
“Ibu bapa murid itu juga membuat laporan dan menyampaikan kes ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya selepas majlis perhimpunan kepimpinan pendidikan negeri Sabah di Dewan Sekolah Menengah Sian Kok, hari ini.
Beliau mengulas kes murid yang didakwa dipukul guru di Perak pada 10 Disember tahun lalu.
Pada masa ini, pihak kementerian memberi tumpuan kepada soal kaunseling kepada murid berkenaan dan keluarganya.
Menurut Fadhlina, pihak kementerian turut memberi peringatan kepada semua guru-guru agar mengambil langkah berhati-hati dalam soal mengurus anak-anak agar tidak berlaku apa-apa kecederaan fizikal.
Jelas beliau, pihak sekolah dan guru-guru yang terlibat telah dikehendaki memberi kerjasama sepanjang tempoh siasatan dilakukan.
Khamis lalu, PDRM memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes murid tahun lima yang mengalami kecederaan akibat dipukul guru lelaki di sebuah sekolah rendah di Bagan Serai, Perak pada Disember lalu. – UTUSAN