Mukhriz berjaya tangguh bayar cukai tambahan RM5 juta

Mukhriz berjaya tangguh bayar cukai tambahan RM5juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berjaya menangguhkan pembayaran cukai tambahan berjumlah lebih RM5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Penangguhan tersebut diberikan sehingga 16 April ini yang mana pada tarikh tersebut, Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar permohonan Mukhriz untuk menggantung pembayaran itu sehingga permohonan semakan kehakimannya berhubung taksiran tambahan itu diputuskan.

Jumlah tersebut merupakan taksiran tambahan cukai pendapatan bagi tempoh 2017 hingga 2019.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh turut memberikan kebenaran terhadap bekas Menteri Besar Kedah itu untuk mencabar pengiraan taksiran tambahan itu.

Hakim Amarjeet membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan dalam permohonan semakan itu.

Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 20 Disember lalu, Mukhriz menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia yang sebagai responden pertama hingga ketiga.

Antara alasan yang dinyatakan dalam permohonan itu, Mukhriz menyatakan responden pertama telah membuat suatu anggapan yang salah dalam mengambil kira perbelanjaan tanpa penjelasan pemohon sebagai jumlah pendapatan lain-lain beliau.

Dakwanya, LHDN secara salah dan melulu telah mengambil kira pelupusan saham pemohon (Mukhriz) di OPCOM Holdings Berhad dan penerimaan dividen daripada M Ocean Capital Sdn. Bhd. sebagai perbelanjaan yang boleh dicukai sedangkan pelupusan saham dan penerimaan dividen itu adalah pendapatan yang tidak boleh dicukai. 

Mukhriz berkata, tindakan responden pertama yang mengambil kira pendapatan tidak boleh dicukai sebagai pendapatan boleh dicukai adalah tidak adil dan tidak sama rata kerana menurut kenyataan responden pertama sendiri, penerimaan dividen daripada saham dan hasil penjualan saham dikira sebagai pendapatan tidak boleh dicukai. 

Selain itu, Notis Taksiran Tambahan 2017 dan Notis Taksiran Tambahan 2018 telah dikeluarkan melebihi tempoh masa yang ditetapkan iaitu selepas lima tahun daripada pemfailan borang cukai pendapatan bagi tahun terlibat.

Menurut Seksyen 91 (1) Akta Cukai Pendapatan, apa-apa notis taksiran tambahan hanya boleh dikeluarkan selepas lima tahun jika terdapat situasi seorang pembayar cukai telah melakukan penipuan, kelalaian sengaja atau kecuaian. 

Bagaimanapun, Mukhriz mendapat beliau tidak pernah lari daripada membayar cukai malah telah membayar cukai tambahan bagi 2019 tanpa sebarang prejudis.

“Secara umum, Notis-Notis Taksiran Tambahan telah mengenakan cukai pendapatan tambahan dan penalti secara keseluruhan sebanyak RM 4,786,029.95 terhadap saya.

“Sebagai perbandingan, cukai pendapatan asal yang telah saya bayar bagi tahun taksiran 2017 hingga 2019 adalah sebanyak RM 234,677.23. Ia adalah kenaikan mendadak sebanyak 1,939.41 peratus.

“Saya sesungguhnya menyatakan bagi Notis Taksiran Tambahan 2019, saya telah membuat bayaran penuh kepada Responden Pertama berjumlah RM16,826.37 secara tanpa prasangka dan merizabkan hak-hak saya untuk memfailkan rayuan pada peringkat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan dan sebarang permohonan di Mahkamah termasuk permohonan semakan kehakiman di sini,”ujar Mukhriz dalam permohonan semakan itu.

Malah, responden pertama juga tidak pernah menyatakan sama ada Mukhriz telah menipu, lalai, atau cuai.

Oleh itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah. 

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires (melangkaui undang-undang).

Selain itu, Mukhriz juga memohon perisytiharan bahawa Anwar menggunakan kuasanya secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan dan menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya