PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu berkaitan kenderaan berat secara menyeluruh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelbagai pihak berkepentingan akan merangka dan melaksanakan pendekatan efektif menerusi pasukan petugas khas tersebut demi keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, pasukan petugas khas tersebut akan diketuai Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan.
“Saya telah memberikan mandat kepada Ketua Setiausaha MOT bahawa pasukan petugas khas ini bukan lagi untuk mengkaji, tetapi pelaksanaan. Beliau akan melaporkan secara terus kepada saya dan saya nak pastikan ia berjalan lancar dan diberikan mandat untuk membuat pelaksanaan.
“Apa sahaja langkah-langkah yang boleh diambil segera, mereka boleh terus laksanakan tanpa perlu buat apa-apa kajian dan sebagainya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loke berkata, MOT akan melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu dan berterusan di lapangan melibatkan agensi penguat kuasa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas yang melibatkan kenderaan berat.
Jelas beliau, pelaksanaan penguatkuasaan itu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“JPJ diberikan mandat penuh untuk melaksanakan operasi-operasi penguatkuasaan mereka sepanjang masa, bukan secara bermusim. Apa yang kita mahu adalah penguatkuasaan secara efektif, iaitu mesti ada kerjasama strategik dengan pelbagai pihak penguatkuasa yang lain,” katanya. – UTUSAN