PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyekat peningkatan harga tambang bas yang dikatakan bakal naik pada sesi persekolahan 2025, Februari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab mengawal harga tambang bas sekolah kerana ia bukanlah di bawah bidang kuasanya.
“Tambang bas sekolah bukan di bawah tanggungjawab MOT jadi kita tidak boleh kawal.
“Namun, sebarang peningkatan perlu melibatkan perbincangan di antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengusaha bas itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang media Penambahbaikan Jadual Bersepadu KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral, di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta MOT campur tangan dengan tidak membiarkan kadar tambang bas sekolah naik bermula Februari nanti.
Ia berikutan Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) yang tetap akan menaikkan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan 2025 mulai Februari ini.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun, persatuan bas sekolah yang mengumumkan kenaikan harga secara terbuka boleh dikenakan tindakan kerana bertindak secara kartel.
Difahamkan, tindakan persatuan perniagaan itu mengaburi mata rakyat dan mempromosikan amalan kartel. – UTUSAN