BANGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memperkenalkan Geran Sains,Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI untuk pelaksanaan program-program dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta dan geran bernilai RM10,000 kepada setiap kawasan Parlimen melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Perdana Menteri yang dijangka diagihkan dalam separuh pertama tahun ini.
“Ini merupakan inisiatif sulung oleh pihak MOSTI bagi membantu Ahli Parlimen melaksanakan program berkaitan STI di kawasan masing-masing tidak kira untuk pelajar sekolah rendah atau menengah mahupun komuniti setempat.
“Alternatif ini salah satu cara untuk membantu negara kita dalam bidang STEM,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di sini, hari ini.
Tambahannya, MOSTI juga akan menerajui Ekonomi Angkasa ASEAN (ASEAN Space Economy) yang merupakan projek mega negara.
Menurutnya, ekonomi angkasa serantau itu bakal memacu perkembangan sektor lain seperti pertanian, komunikasi, pengangkutan dan pendidikan selain membangunkan industri hiliran seperti unsur nadir bumi (REE) yang bakal menghasilkan produk seperti super magnet.
“Pada tahun ini, MOSTI perlu mengambil langkah yang lebih serius untuk membangunkan ekosistem industri super magnet REE kerana berpotensi untuk menyumbang secara terus dalam pembangunan sektor angkasa terutama bagi sistem satelit dan sistem komunikasi dan navigasi.
“Dengan gabungan lokasi strategik, kepakaran teknologi, dasar yang kukuh, dan kerjasama antarabangsa, Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi peneraju ekonomi angkasa di ASEAN.
“MOSTI akan terus memperkukuhkan hubungan antara kementerian, agensi dan pihak industri khususnya dalam Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bagi membina jaringan,” katanya. – UTUSAN