Mohon restu ibu ayah di pusat pemindahan banjir sebelum hadir SPM

Mohon restu ibu ayah di pusat pemindahan banjir sebelum hadir SPM

ROSMAYANI RUSTAM bersalaman dengan ibu saudaranya Rafeah Samat yang menggantikan ibunya untuk mendapat restu sebelum masuk ke dewan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Walaupun terpaksa menumpang di rumah saudara-mara akibat banjir, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap diberi tumpuan utama demi memperoleh keputusan yang terbaik kelak.

Dua pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang yang tinggal di Kampung Contoh, dekat sini tetap bersemangat menduduki peperiksaan tersebut selepas rumah mereka terjejas akibat banjir sejak Sabtu lalu.

Rosmayani Rustam, 17, mengakui tumpuan sedikit terganggu kerana suasana agak berbeza berbanding mentelaah pelajaran di rumah sendiri.

Walaupun rumah ibu saudaranya di Taman Ria hanya kira-kira dua kilometer dari kediamannya, namun suasananya tetap berbeza selain bimbang dengan keadaan rumah ditinggalkan.

“Sebaik habis waktu peperiksaan saya akan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kahang untuk berjumpa keluarga yang ditempatkan di sana.

“Sebelum pergi ke dewan peperiksaan, ibu saudara turut menghantar ke PPS untuk mendapatkan restu daripada ibu dan ayah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rosmayani yang mengambil tujuh mata pelajaran turut berharap cabaran seperti itu tidak melemahkan semangatnya serta tiga lagi rakan yang turut berdepan situasi sama.

Sementara itu, Mohd. Norzikri Sardi, 17, yang menumpang di rumah saudaranya di Taman Wawasan yang terletak hanya 500 meter dari SMK Kahang bersyukur kerana ada tempat menumpang ketika rumah keluarganya turut terjejas akibat banjir ini.

Katanya, untuk ke dewan peperiksaan dia hanya perlu berjalan kaki kerana jarak rumah yang dekat, namun tetap menghubungi ibu dan bapanya untuk mendapatkan restu.

“Walaupun terjejas akibat banjir, namun saya yakin akan berjaya menghadapi cabaran ini dan memperoleh kejayaan,” katanya.

Rosmayani dan Mohd. Norzikri akan meluangkan masa ke PPS untuk berjumpa keluarga masing-masing ketika tiada peperiksaan dijalankan dan mengambil peluang belajar bersama.

Sementara itu, seramai 38 calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Johor terjejas banjir dengan 33 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara PPS di lima daerah yang terjejas banjir, setakat pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, kesemua mereka melibatkan seramai 12 calon SPM dan STPM di daerah Kota Tinggi, empat calon di Kluang, lapan orang di Kulai dan seramai tujuh orang di Pontian dan Johor Bahru

“Lima calon yang awal ditempatkan di PPS berpindah ke rumah saudara bagi mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan itu. Lapan mangsa banjir menduduki peperiksaan SPM dan STPM semalam.

“Seramai tujuh calon SPM akan menduduki peperiksaan semalam, iaitu masing-masing dua pelajar di daerah Kota Tinggi, Kluang dan Pontian dan seorang di Johor Bahru. Turut terkesan ialah seorang calon STPM di daerah Kulai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya