PETALING JAYA: Syarikat perladangan terkemuka, SD Guthrie Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Sime Darby Plantation melantik bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutifnya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia, pelantikan Mohd Zuki akan memperkukuhkan kepimpinan syarikat dengan pengalaman luasnya lebih tiga dekad dalam perkhidmatan kerajaan.
“Dengan khidmat lebih 30 tahun dalam kerajaan, beliau membawa kepakaran dalam penggubalan dasar, pentadbiran awam, dan institusi antara kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Mohd Zuki yang kini merupakan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak September 2024 berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke-15 dari 2020 hingga 2024.
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Disember lalu, Mohd Zuki turut dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif di Pestech International Bhd. – UTUSAN